Thursday, 26 June 2014



Tajuk : Semangat Padi
Cerita Donggeng Bidayuh ( Serian )


Di Kalangan masyarakat Bidayuh, walaupun tidak ramai, masih ada yang percaya dengan wujudnya semangat padi. Dalam keluarga saya pun masih tebal kepercayaan itu. Kalau makan biarlah jangan bersisa nasi tu. Bila nak masak nasi, tangan tak boleh basah. Beras dikeluarkan dengan berhati-hati dan cawan yang digunakan untuk menceduk beras harus di masukkan kembali secara telangkup dan beras diratakan dalam bekas. Cerita pasal padi, ada pula batu padi. Asal ceritanya begini. 


Pada zaman dahulu ada dua orang anak yatim piatu. Kakaknya bernama Karri dan adiknya bernama Edderk'. Mereka berdua sangat miskin. Pada masa itu adalah musim menanam padi. Mereka berdua tidak memiliki tanah untuk menanam padi tetapi mereka mohon kasihan daripada orang kampung agar membenarkan mereka menanam padi di sempadan sawah yang luasnya begitu kecil. 
   Begitulah hari berlalu dan tibalah musim menuai. menjadi kebiasaan orang Bidayuh, bila musim menuai ada orang yang akan menolong mengutip buah padi dan akan diberi upah padi yang dikutip sebanyak tambuk yang dibawa oleh orang itu. Adalah seorang nenek merayau-rayau membawa tambuk yang sangat besar. Dia bertanya dari satu sawah ke satu sawah samada mereka mahu dia tolong menuai. Tetapi apabila orang kampung melihat tambuk yang dibawa begitu besar, mereka menolak lalu mengatakan mereka tidak memerlukan pertolongan dia. Semua orang kampung takut melihat tambuk yang begitu besar takut padi mereka habis diambil. Sebenarnya nenek itu bukanlah orang biasa. Dia membawa tambuk yang begitu besar sebab itulah "dugaan"nya kepada orang kampung.
   Apabila sampai kepada Karri dan Edderk' nenek itu juga bertanyakan samada mereka mahukan pertolongan menuai. Lalu Karri pun berkata, "Baiklah nek, marilah kita menuai bersama sawah kami yang sekangkang kera saja ini". Lalu mereka pun menuai. Bermula dari satu sisi ke satu sisi. Ingatkan sudah habis dituai. tetapi bila mereka menoleh ke belakang, bertampuk tampuk tangkai padi belum dituai sedangkan mereka sudah melalui tempat itu. Begitulah seterusnya mereka menuai berulang-ulang tetapi tidak juga selesai dituai. Akhirnya semua tambuk sudah penuh dengan padi, guni-guni juga sudah penuh dan mereka pun sudah keletihan. Lalu nenek itu pun bertanya kepada dua beradik itu samada mereka sudah letih menuai. Dua beradik itu pun mengiakannya. Nenek itu pun menyuruh si adik menebang "tung'ggu kayu"(pokok yang sudah hangus terbakar tetapi masih berdiri). Setelah ditebang, barulah padi-padi itu habis dituai. Untuk pengetahun, sehingga sekarang, apabila orang menuai, menjadi pantang larang menebang "tung'ggu" kerana takut hasil tuaian menjadi sedikit.
  Begitulah nenek itu mengarahkan dua beradik itu memasukkan padi mereka ke dalam "kurrit"(pondok tertutup bertiang tinggi tempat menyimpan padi).Nenek itu masuk ke dalam pondok itu, dan mengarahkan dua beradik itu menuang padi ke dalam "kurrit".Mereka berdua pun menuang padi-padi itu sehinggalah padi itu menimbus paras pinggang nenek itu.
   "Nek, nek keluarlah dari kurrit itu", kata Karri kepada nenek itu.

tetapi nenek itu menyuruh mereka menuang saja padi kedalam kurrit itu. Padi-padi di dalam kurrit itu telah menimbusi nenek itu sehingga paras leher.Sekali lagi karri menyuruh nenek itu keluar tetapi nenek itu tetap menyuruh mereka menuang padi sehingga akhirnya nenek itu tertimbus dan dipercayai nenek itu menjadi batu padi. Sebenarnya nenek itu adalah semangat padi. Sebab itulah mengapa padi-padi yang mereka tuai tidak juga selesai sehingga ada pantang larang yang telah dilanggar seperti memotong "tung'ggu".
  Mungkin kerana binaan "kurrit" itu tidak tegap atau kerana terlalu berat, kurrit itu tumbang dan padi tumpah ke tanah dan dipercayai menjadi busut. Sebab itu orang tua percaya dibawah setiap kurrit yang dibina memang akan ada busut.
   Begitulah ceritanya. sebab itu adalah menjadi pantang larang membuang nasi sembarangan takut semangat padi lari. Sisa-sisa nasi harus dibuang secara berhemah seperti diberi makan ayam, itik atau dibungkus dengan baik jika basi. Dipercayai jika semangat padi lari, orang yang melakukannya akan makan beras atau rezeki mereka adalah seperti air. Maksudnya di sini adalah walaupun ada rezeki, tetapi cepat habis atau pergi. Nasi yang dibuang sebarangan pula dikatakan boleh menagis dan semangatnya boleh mengikuti sesiapa saja yang melalui tempat ia dibuang. Paling pantang sengaja memecah periuk nasi dan dipercayai kesannya adalah turun temurun. Dikatakan anak cucunya akan mendapat rezeki seperti mengaut air ditangan.
   Nak percaya ke tidak? itu terpulanglah kepada diri individu masing-masing.Tapi bagi saya, saya masih percaya akan semangat padi.
   
Tambuk

No comments:

Post a Comment