Sunday, 29 June 2014

Tajuk : Kisah Padi
Kisah Donggeng Bidayuh ( Serian )


Kisah padi lagi...
Yala.. padi, beras, nasi memang menjadi kisah popular sebab nasi kan makanan ruji orang Bidayuh.

Cerita kali ini mengisahkan bagaimana padi boleh menjadi seperti saiz sekarang. Eh eh tahu tak dahulu padi saiznya macam mana?zaman dahulu saiz padi adalah sebesar tempurung kelapa. Macam tipu je kan? tapi mak saya cakap ada sebuah keluarga yang masih simpan kulit padi zaman dahulu. saiznya memang sebesar tempurung kelapa katanya. hai kalaulah saya dapat jumpa keluarga tu dan tangkap gambar kulit padi tu.
   Berbalik kepada cerita padi. Ceritanya begini...
Ada seorang yang memiliki sawah padi yang banyak. kira dia ni kayalah pada zaman tu sebab zaman dahulu siapa ada banyak padi akan dikira sebagai kaya. Tetapi dia sangat kedekut. Dia ada nenek yang buta.
   Bila tiba masa untuk menjemur padi, dia tak mahu suruh orang lain jaga padi dijemuran sebab dia tidak mahu bagi upah yang banyak. Jadi dia suruh nenek nya yang buta itu tolong jaga padi di jemuran, supaya ayam tak mencuri makan padi.
   Apa yang berlaku ialah, semasa menjemur padi , padi itu menjadi panas lalu meletup. Saya pun terbayang macam mana agaknya ia meletup. mungkin macam bertih jagung yang dipanggang. Bila nenek yang buta itu mendengar bunyi "pop, pop, pop" dia fikir ada ayam yang mencuri makan padi itu. Nenek itu apalagi terus mengambil galah penghalau ayam yang memang diikat merentang tikar padi yang dijemur dan terus memukul padi itu.
   Dari kejadian itu dikatakan padi menjadi kecil seperti sekarang. Begitulah ceritanya.
Kalaulah padi masih sebesar tempurung kelapa kan best...cuma perlu masak sebiji beras, periuk dah penuh.

kamus Bidayuh - Bahasa Melayu
1.Lukek - kedekut                         5.Ahi - Banyak
2.Su'ah - Galah                              6.Bakap - Buta
3.Lawak - Tempurung                   7.Nangku - Mencuri
4.Buntan - Kelapa                         8.Nawe' - Jemur

Thursday, 26 June 2014



Tajuk : Semangat Padi
Cerita Donggeng Bidayuh ( Serian )


Di Kalangan masyarakat Bidayuh, walaupun tidak ramai, masih ada yang percaya dengan wujudnya semangat padi. Dalam keluarga saya pun masih tebal kepercayaan itu. Kalau makan biarlah jangan bersisa nasi tu. Bila nak masak nasi, tangan tak boleh basah. Beras dikeluarkan dengan berhati-hati dan cawan yang digunakan untuk menceduk beras harus di masukkan kembali secara telangkup dan beras diratakan dalam bekas. Cerita pasal padi, ada pula batu padi. Asal ceritanya begini. 


Pada zaman dahulu ada dua orang anak yatim piatu. Kakaknya bernama Karri dan adiknya bernama Edderk'. Mereka berdua sangat miskin. Pada masa itu adalah musim menanam padi. Mereka berdua tidak memiliki tanah untuk menanam padi tetapi mereka mohon kasihan daripada orang kampung agar membenarkan mereka menanam padi di sempadan sawah yang luasnya begitu kecil. 
   Begitulah hari berlalu dan tibalah musim menuai. menjadi kebiasaan orang Bidayuh, bila musim menuai ada orang yang akan menolong mengutip buah padi dan akan diberi upah padi yang dikutip sebanyak tambuk yang dibawa oleh orang itu. Adalah seorang nenek merayau-rayau membawa tambuk yang sangat besar. Dia bertanya dari satu sawah ke satu sawah samada mereka mahu dia tolong menuai. Tetapi apabila orang kampung melihat tambuk yang dibawa begitu besar, mereka menolak lalu mengatakan mereka tidak memerlukan pertolongan dia. Semua orang kampung takut melihat tambuk yang begitu besar takut padi mereka habis diambil. Sebenarnya nenek itu bukanlah orang biasa. Dia membawa tambuk yang begitu besar sebab itulah "dugaan"nya kepada orang kampung.
   Apabila sampai kepada Karri dan Edderk' nenek itu juga bertanyakan samada mereka mahukan pertolongan menuai. Lalu Karri pun berkata, "Baiklah nek, marilah kita menuai bersama sawah kami yang sekangkang kera saja ini". Lalu mereka pun menuai. Bermula dari satu sisi ke satu sisi. Ingatkan sudah habis dituai. tetapi bila mereka menoleh ke belakang, bertampuk tampuk tangkai padi belum dituai sedangkan mereka sudah melalui tempat itu. Begitulah seterusnya mereka menuai berulang-ulang tetapi tidak juga selesai dituai. Akhirnya semua tambuk sudah penuh dengan padi, guni-guni juga sudah penuh dan mereka pun sudah keletihan. Lalu nenek itu pun bertanya kepada dua beradik itu samada mereka sudah letih menuai. Dua beradik itu pun mengiakannya. Nenek itu pun menyuruh si adik menebang "tung'ggu kayu"(pokok yang sudah hangus terbakar tetapi masih berdiri). Setelah ditebang, barulah padi-padi itu habis dituai. Untuk pengetahun, sehingga sekarang, apabila orang menuai, menjadi pantang larang menebang "tung'ggu" kerana takut hasil tuaian menjadi sedikit.
  Begitulah nenek itu mengarahkan dua beradik itu memasukkan padi mereka ke dalam "kurrit"(pondok tertutup bertiang tinggi tempat menyimpan padi).Nenek itu masuk ke dalam pondok itu, dan mengarahkan dua beradik itu menuang padi ke dalam "kurrit".Mereka berdua pun menuang padi-padi itu sehinggalah padi itu menimbus paras pinggang nenek itu.
   "Nek, nek keluarlah dari kurrit itu", kata Karri kepada nenek itu.

tetapi nenek itu menyuruh mereka menuang saja padi kedalam kurrit itu. Padi-padi di dalam kurrit itu telah menimbusi nenek itu sehingga paras leher.Sekali lagi karri menyuruh nenek itu keluar tetapi nenek itu tetap menyuruh mereka menuang padi sehingga akhirnya nenek itu tertimbus dan dipercayai nenek itu menjadi batu padi. Sebenarnya nenek itu adalah semangat padi. Sebab itulah mengapa padi-padi yang mereka tuai tidak juga selesai sehingga ada pantang larang yang telah dilanggar seperti memotong "tung'ggu".
  Mungkin kerana binaan "kurrit" itu tidak tegap atau kerana terlalu berat, kurrit itu tumbang dan padi tumpah ke tanah dan dipercayai menjadi busut. Sebab itu orang tua percaya dibawah setiap kurrit yang dibina memang akan ada busut.
   Begitulah ceritanya. sebab itu adalah menjadi pantang larang membuang nasi sembarangan takut semangat padi lari. Sisa-sisa nasi harus dibuang secara berhemah seperti diberi makan ayam, itik atau dibungkus dengan baik jika basi. Dipercayai jika semangat padi lari, orang yang melakukannya akan makan beras atau rezeki mereka adalah seperti air. Maksudnya di sini adalah walaupun ada rezeki, tetapi cepat habis atau pergi. Nasi yang dibuang sebarangan pula dikatakan boleh menagis dan semangatnya boleh mengikuti sesiapa saja yang melalui tempat ia dibuang. Paling pantang sengaja memecah periuk nasi dan dipercayai kesannya adalah turun temurun. Dikatakan anak cucunya akan mendapat rezeki seperti mengaut air ditangan.
   Nak percaya ke tidak? itu terpulanglah kepada diri individu masing-masing.Tapi bagi saya, saya masih percaya akan semangat padi.
   
Tambuk

Monday, 23 June 2014

Tajuk : Kenapa Ayam Dikatakan Boleh Melihat Roh / Hantu.
Kisah Donggeng Orang Bidayuh (Serian )



   Macam tak percaya pula, tapi rasanya ada juga bangsa lain yang percaya ayam boleh melihat roh atau hantu selain dari bangsa Bidayuh. Begini ceritanya kata nenek ku.
   Pada zaman dahulu kala, rasanya zaman tu masih tiada agama atau dalam bahasa sekarang pagan. Dikatakan dalam dunia ni bukan cuma ada manusia dan binatang tetapi ada juga makhluk lain yang tidak kelihatan seperti hantu, jin, roh dan sebagainya. Begitulah ceritanya zaman dahulu dimana manusia dikatakan bersahabat dengan hantu. Rasanya jika benar kenapa manusia tidak takut melihatkan rupa hantu? sebab mereka pandai merubah rupa dengan mengaburi mata manusia.
  Kisahnya bermula begini. Manusia dan hantu sering pergi berburu, berkebun atau menangkap ikan bersama-sama. manakala anak-anak mereka akan tinggal dirumah bermain bersama. Tetapi pada suatu hari, ketika ibu bapa manusia dan ibu bapa hantu pergi memburu, mereka tidak mendapat apa-apa. Apa yang berlaku ialah ibu bapa hantu telah menjadikan ibu bapa manusia menjadi hasil buruan mereka.
  Setibanya mereka dirumah, anak manusia pun bertanya tentang ibu bapanya kenapa tidak kembali seperti biasa bersama. Anak manusia diberitahu bahawa ibu bapanya akan balik lambat kerana masih berburu. Hari semakin senja jadi ibu hantu pun menyediakan makan malam. Untuk pengetahun semua, manusia ketika itu dapat melihat hantu atau roh kerana hantu telah memberi satu botol kecil minyak untuk membuka mata manusia untuk melihat hantu agar anak-anak mereka boleh berkawan.
  Masa makan, anak manusia pun dijemput sama untuk makan malam. lauknya hasil buruan pada hari itu.
Anak manusia itu pun memerhati daging didalam mangkuk yang dihidangkan. Lalu berkata ,
 
  "Eh, kenapa daging ni macam jari ibu ku?"

lalu ibu hantu menjawab. "Bukanlah, itu kaki rusa."

Anak manusia pun bersuara lagi. "Eh, ni macam kuku bapa ku?"

lalu bapa hantu pun menjawab. "Bukanlah, itu kuku kambing."

Selesai makan malam anak hantu dan anak manusia pun bermain di"tanju"(halaman rumah yang berlantaikan buluh biasanya digunakan untuk lepak atau menjemur padi). Tanpa disedari anak manusia, botol minyak kecil yang menyebabkan dia boleh melihat hantu atau roh terjatuh dari celah lantai buluh tanju. kebetulan pada ketika itu ada seekor ayam sedang mematuk-matuk sisa padi yang telah terjatuh kebawah tanju, lalu ia terpatuk dan menelan botol itu.

  Akibat dari tertelan botol itu, ayam boleh melihat hantu atau roh sehingga kini kata nenek ku. Manusia pula kehilangan deria untuk melihat mereka. Anak manusia dan anak hantu tidak dapat bermain bersama lagi. Sebelum mereka tidak bersama lagi, anak hantu sempat memberitahu anak manusia bahawa ibu bapanya telah dijadikan hasil buruan oleh ibu bapanya. Anak hantulah yang menolong anak manusia terselamat dari menjadi makanan ibu bapanya.

Begitulah ceritanya. Sebab itu orang tua selalu cakap bila ayam berkokok pada waktu senja bermakna ada hantu atau roh lalu untuk pergi berburu, Bagi mereka, alam mereka terbalik dari manusia. senja adalah waktu subuh bagi mereka.

Kamus- Bidayuh  -  Bahasa Melayu
1. Nenek - Tayung                     5.Inyo - Minyak
2. Amang - Bapa                        6.Ramin - Rumah
3. Butol - Botol                          7.Birayo - Berkawan
4. Mindu/Bumbo - Hantu            8.Ma'an - Makan


  

Tuesday, 17 June 2014



Just For Fun


Lirik Lagu Bidayuh: Darud Sadung - Hayn Naing (Stingray)   

Angin da ngumboi Anihkah agah da taban 
Ujan da jatu binabi mah asung Da maseh nyalu...
 Bukun dangan sidi asung Ku pilapas mu buhu
 Pak kumanih langkah Ngin ti mah pinyungka mu
 Amu nulis surat nug aku Pida'an kuon bidingan
 Da mada aku kaii mirati

 chrs: Oh darud sadung Tulung taban mah dayung salau ku
 Tulung pida'an mah aku maseh nyayang nuh
 Tulung pida'an mah aku babar ngulu bidungu Wang kameanu
 wang ku mikir masa ku ngan amu 

Masa bicinta masa bicinta 
Da pait da sidi semua nuh bilalu
 Pak maseh ku nganang masa bicinta ***
 Masa bicinta ooh...ooh...
 Da pait da sidi semua nuh bilalu 
Pak maseh ku ngarap mu balik 


klik here to listen:
Lagu Darud Sadung




Monday, 16 June 2014

Tajuk : Si Ba'ook
Cerita Donggeng Bidayuh Serian

 


 Si Ba'ook betul ke tidak ejaannya tapi bunyinya macam tulah. Haa.. kali ni saya nak cerita pasal cerita donggeng yang ala-ala macam dalam filem pula ku dengar. Ceritanya bermula begini....

   Pada zaman dahulu ada seorang pemuda bernama Si-Ba'ook. Kacak ke hodoh saya tak pasti sebab tidak pula disebut dan saya pun lupa nak tanya.
   Pada suatu hari, Si Ba'ook pergi menangkap ikan. Dia berkayuh menggunakan perahu. Fikirnya dia hendak ke lubuk yang agak jauh ke tengah hutan. Pastinya ada banyak ikan disana. Sedang dia mengayuh perahu, dia terlihat sebatang pokok rambutan yang berbuah lebat. Dahan pohonnya tunduk mencecah air. Lalu Si-Ba'ook pun dengan girangnya mengutip buah rambutan itu sambil memakan isinya. Satu demi satu dahan yang berbuah lebat dipatah sehingga dia cuba mematahkan satu dahan yang agak besar. Semasa dia cuba mematahkan dahan itu, tiba-tiba dahan itu menjungkit ke atas sehingga Si Ba'ook ikut sama naik ke atas menyebabkan dia tersangkut pada lantai langit atau ada yang kata benua kayangan.
 
   Si Ba'ook pun terkandas disitu. Dia tidak dapat turun ke bumi, cuma mampu melihat ke bawah melalui "tajau rumpong"(tempayan yang bocor). Di benua itu tinggal seorang tua bersama lapan cucunya. Mereka inilah yang dipanggil orang Bidayuh "dayung sawa". Kalau di alih bahasa secara terus ia bermaksud wanita tahun, tapi sebenarnya ia bermaksud bintang. Si Ba'ook pun cuba memikat dari yang paling tua ke yang paling muda,dan akhirnya dia berjaya berkahwin dengan si bongsu.
   Pada suatu hari, si atuk ini menyuruh Si Ba'ook membina jambatan, tetapi jambatan yang dibinanya menyerupai "awah"(seperti brenda depan rumah yang memanjang ke depan). Jadi si atuk ni pun membetulkan jambatan ini dan membinanya melengkung. Satu bahagian mencecah air, satu bahagian mencecah daratan. Datuk itu berpesan kepada Si Ba'ook, kalau berjalan pada jambatan itu jangan pergi ke sebelah kanan.
   Pada suatu hari semasa berjalan di atas jambatan itu, dia terfikir kenapa datuk tidak benarkan dia pergi ke sebelah kanan. jadi dia pun berjalan ke sebelah kanan jambatan. Alangkah pilunya hatinya apabila melihat mata ibunya di bumi yang membengkak menagis kerana menagisi kehilangannya selama ini.
 
Sekembalinya ke rumah isterinya dia menjadi seorang pendiam. Makan pun dia tak lalu. Hari berganti hari dan si isteri menjadi begitu risau dengan keadaan suaminya. Lalu isteri Si Ba'ook pun bertanya kepada datuknya kenapa suaminya jadi begitu. Lalu datuknya berkata, mungkin suaminya ada melihat sesuatu di bumi. Jadi datuk itu menasihatkan isterinya agar menghantar suaminya kembali ke bumi takut dia mati kerana tidak makan.

  Si Ba'ook pun hendak dihantar ke bumi kembali. Mulanya Si Ba'ook dimasukkan ke dalam peti besi untuk diturunkan ke bumi. Tetapi peti itu pecah diserang burung garuda. Terpaksalah dinaikkan semula ke langit. Kemudian peti tembaga pula digunakan, perkara yang sama berulang. Akhirnya dia dimasukkan ke dalam peti kayu "Jungkung"(sejenis kayu yang lentur tidak dapat ditetak) barulah peti itu dapat didaratkan di atas atap rumah Si Ba'ook di bumi.
   Pada masa itu ibu Si Ba'ook masih lagi menagis meratapi anaknya yang hilang.Di halaman rumah ada ayam peliharaan ibu Si Ba'ook. Ayam itu pun berbunyi,

       "Kuruukoruok Si Ba'ook sudah datang".

Ibu Si Ba'ook mendengar ayam itu berkata demikian lalu dia membaling batu kepada ayam itu sambil berkata yang Si Ba'ook sudah lama mati. Perkara yang sama berulang lagi. Akibat terlalu geram memikirkan ayam itu mengejeknya, ibu Si Ba'ook telah membaling ayam itu sehingga ayam itu mati. Tetapi apabila dia mendonggak ke atas atap, dilihatnya Si Ba'ook sedang duduk termenung disitu. Alangkah gembiranya si ibu menyambut kepulangan anaknya. Disini cerita tentang Si Ba'ook terhenti.

   Berbalik kepada isteri Si Ba'ook "dayung sawa" si puteri bongsu. Dia sangat merindui suaminya tetapi tidak tahu kemana hendak mencarinya. Akhirnya dia nekad terjun dari langit dan terjatuh kedalam serumpun buluh. Kata orang tua-tua sehingga hari ini "dayung sawa" atau bintang dulu ada lapan, sekarang ada tujuh sebaris masih berkelip di langit.
   Rumpunan buluh itu berada didalam kawasan kebun seorang pekebun di sebuah kampung yang digelar "Sinangkan". Pekebun itu telah memotong semua pohon kecil dan rimbunan buluh itu untuk menanam tanaman. Tetapi pada keesokan harinya apabila dia kembali ke situ, alangkah terkejutnya dia melihat semua pohon dan rumpunan buluh yang telah ditebang berdiri tegak kembali. Pada malam itu pekebun itu mengintai apakah yang telah berlaku dikebunnya.
   Pada keesokan harinya, pekebun itu memotong buluh tempat wanita yang dilihatnya malam itu telah masuk. Di potongnya bahagian pucuk dan akar meninggalkan bahagian tengah. Bila dibelah nampaklah olehnya perut membonjol keluar. Lalu pekebun itu memelihara "dayung sawa" itu dirumahnya. Dikatakan kampung Sinangkan pada masa itu sangat mewah kerana "dayung sawa" memelihara tanaman serta tumbuhan di kampung itu.

Begitulah ceritanya yang saya dengar dari nenek saya. Apa moral cerita ini saya pun tak pasti tetapi yang jelas cerita seperti ini menjadi hiburan kepada yang muda pada masa dahulu. Selain hiburan dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, tidak seperti sekarang dengan adanya pelbagai gadjet, masing-masing dengan perkara sendiri. Nilai kekeluargaan juga semakin lenyap.



Bidayuh Traditional Cuisine 
Here some of my favorites .... nyam nyam nyammy....
boiled cassava
braised bamboo shoots
 
                                                                                                   

                 
Boiled spicy sour Yam Sticks 

Snails with tempoyak

Grilled Corn
Curry "umbut"
Fried "Pekasam ikan"
Tapioca Leaves "Masak lemak"
Satay Sago Worm

"Jering"

Fried "tempoyak"
"Ayam Pansuh"

Thursday, 12 June 2014



Tajuk : Oh Ibu Ku - Cerita Donggeng Bidayuh (Bukar) - Serian




     Pastinya banyak yang berasa hairan kenapa tajuk cerita ini oh ibu ku, sedangkan gambar illustrasinya adalah seekor tikus. Seperti yang diceritakan kepada ku, beginilah kisahnya.
     Pada suatu zaman dahulu banyak perkara yang mustahil boleh berlaku. Begitulah di suatu senja seekor tikus betina merayau-rayau di "male"( kawasan bekas menanam padi) mencari makanan. Sedang mencari makanan ia merasa haus. Kebetulan tidak jauh dari situ ada takungan air yang bertakung pada cendawan, lalu ia pun minum air yang bertakung itu.
    Hendak dijadikan cerita, tikus ini menjadi hamil dan selang tidak lama kemudian ia melahirkan seorang anak manusia, perempuan. Anak ini dijaga dengan baik sehingga dia semakin besar. Si ibu ini apabila anaknya sudah dewasa, ia masih menjenguk anaknya setiap hari. Tidak lama kemudian si anak ini pun berkahwin. Tetapi dia tidak pernah menceritakan kepada suaminya tentang ibunya.
   Pada suatu hari, sedang ibu tikus keluar mencari makanan, ia di terkam oleh seekor kucing. Lalu matilah ia. Bangkainya diheret oleh kucing itu tidak jauh dari "payeh"(dapur tempat menyalai) rumah anaknya. Pada petang itu si anak tercari-cari kelibat ibunya, kerana selalunya setiap hari "ibunya" akan menjenguknya, tapi alangkah terkejutnya dia menemui bangkai "ibunya" berdekatan "payeh" rumahnya. Alangkah sedihnya dia, lalu dia mengambil kain dan membalut bangkai "ibunya".
   Apa yang berlaku selapas itu adalah, setiap hari, selepas suaminya turun ke ladang, dia akan membuka kain balutan bangkai "ibunya" lalu meratapinya dengan bunyi yang nyaring. Katanya :
    
       " Kan kuju tukuk pan ande aku, kan ambuh ungkui pan ande aku, kan biburuh pan ande aku "

bermaksud, " Kalau bermuncung pun ibu aku, kalau panjang ekor pun ibu aku, kalau berbulu pun ibu aku "

Apabila senja suaminya kembali dari ladang, dia akan membalut kembali bangkai "ibunya" dan menyembunyikannya. Dan begitulah apa yang berlaku selama beberapa hari berulang-ulang sehinggalah jiran mereka bertanyakan si suami kenapa isterinya meraung-raung setiap kali dia turun ke ladang. Jadi pada keesokan harinya, si suami pura-pura turun ke ladang seperti biasa tetapi sebenarnya dia bersembunyi di "bangkat Uhang" (pondok tempat menyimpan kayu api). Apabila melihat suaminya telah turun ke ladang, si isteri pun mengeluarkan bangkai "ibunya" dan meratapi seperti biasa. Melihatkan semua itu si suami pun naik ke rumah mereka dan menegur isterinya dan bertanya kenapa isterinya tidak memberitahu bahawa ibunya telah mati walaupun ia adalah seekor tikus. Dan pada hari itu, bangkai tikus itu dikebumikan sebagaimana layaknya seorang anak mengebumikan ibunya dengan perasaan hormat dan kasih.
     
   Moral cerita ini ialah, siapa, bagaimana pun ibu kita, kita harus menghormati mereka. Biarpun mereka cacat atau sakit atau sudah tua mereka tetap ibu yang melahirkan. Ingatlah kita sebagai manusia, kita sendiri juga pun boleh sakit dan tua. 

   Saya teringat pesan ibu saya. Kata orang tua-tua kalau kamu tidak hormat orang tua kamu, suatu hari nanti anak-anak kamu akan tidak hormat kepada kamu. perkara ini boleh menjadi turun temurun kerana apabila kamu menegur anak kamu, anak kamu akan berkata, "eh dulu mak pun lawan cakap atuk atau nenek", atau "dulu mak hantar nenek ke rumah orang tua. Sekarang mak dah tua,saya pula yang hantar mak ke rumah orang tua". 

kamus : Bidayuh (Bukar) - Bahasa Melayu
1. Sikuju/tikus   -  Tikus                          5. Uhang         - Kayu Api
2. Baneh           - Suami                          6. Tadang        - Bangkai
3. Asau             - Isteri                            7. Kamiandu   - Petang
4. Kurat            - Cendawan                   8. Umo           - Air
   


Wednesday, 11 June 2014

Cerita Donggeng Bidayuh - Serian.

Tajuk : Kenapa Nyamuk Menghisap Darah.


   Pada zaman dahulu sang rusa dan si nyamuk adalah berkawan baik. Untuk pengetahuan semua, kata nenek ku si nyamuk ni suatu masa dahulu saiznya adalah sebesar ayam. wow besar tu, boleh bayangkan?
    Dijadikan cerita. Si nyamuk ni kagum melihat badan rusa yang besar dan berotot. Lalu dia bertanya kepada sang rusa.

Nyamuk : Rusa, rusa, apa kau makan yang buat badan kau besar gitu?

Rusa : Ooo aku makan "tayak dayak" (tunas tumbuhan yang ditanam oleh manusia)

    Si nyamuk ni pula sebenarnya ada masalah pendengaran. Lalu...

Nyamuk : Apa? kau makan "deya dayak?" (darah manusia)

Rusa : Bukan,"tayak dayak".

Nyamuk : "deya dayak?"

Rusa : "tayak dayak"

Nyamuk : Ooo faham, faham kau makan "deya dayak".

     Sang rusa pun naik berang dengan kepekakkan si nyamuk ni. Lalu sang rusa pun menyepak si nyamuk ni sampai jatuh berguling-guling dari gaung. Jadilah si nyamuk ni kecil macam sekarang. 
    Dan..ohhh satu lagi, kalau orang yang sekali kita cakap dia masih tak dengar, dua kali cakap masih salah dengar, gerenti dikata telinga nyamuk. haaaa jadi sila beri perhatian bila orang bercakap dengan kita okey? nanti di gelar si telinga nyamuk.

Kamus : Bidayuh (Bukar) - Bahasa Melayu

1. Pirunggang - Nyamuk               5. Dingan - Kawan
2. Pa'eh - Rusa                             6. Icuk - Kecil
3. Dayak - Manusia                      7. Bahas - Besar
4. Kapping' - Telinga                    8. Siyok - Ayam








If you lucky enough to kiss the right frog, CONGRATULATIONS.



 

 And where is that perfect charming prince ? is he still exist ?
or they only exist in fairy tales land where story always ending with "they live happily forever after". 


Tuesday, 10 June 2014


Say what you want .... I don't mind. You can get angry, cry, laugh as long as you feel GOOD.





LADY NINJA IN THE HOUSE