Sunday, 24 August 2014

Tajuk : Amang Alui -1

Cerita Donggeng orang Bidayuh Serian

Amang Alui dalam bahasa Bidayuh, Pak Pandir dalam bahasa Melayu dan entah apa lagi nama yang digunakan untuk menamakan seorang pakcik yang cara pemikirannya 3 suku itu. Ada di antara cerita antara dua nama ini versinya sama. Jadi saya akan ceritakan cerita kegemaran zaman kanak-kanak ku dulu dengan versi yang tidak sama.

Versi ini lebih kepada cara kehidupan orang Bidayuh zaman dahulu. oklah cerita yang pertama. 'Amang Alui muhun ngirangkat'. Ngirangkat bermaksud membakar tanah huma untuk membersihkannya sebagai persediaan untuk menanam padi kembali. Jadi cerita Amang Alui @ Pak Alui kali ini adalah Pak Alui pergi ngirangkat.

Ceritanya begini. Pada suatu hari, Pak Alui , Mak Alui dan anaknya pergi ke tanah bekas huma untuk membersihkannya. Seawal waktu subuh tiga anak beranak ini pun berangkat dengan penuh semangat. Setibanya di situ Mak Alui menyuruh anaknya si Alui duduk saja di bawah pokok kerana tiada pondok huma untuk dia duduk menunggu. Pokok itu berada di tengah-tengah huma. Pak Alui pula sampai sahaja terus memotong kayu kayan dan membuat beberapa longgokkan. Dalam masa yang singkat sahaja kerja memotong, mencantas, melonggok sudah selesai.

Tibalah masa untuk membakar. Pak Alui dengan mak Alui pun mulalah membakar longgokan-longgokan kayu itu. Apabila api marak membakar, haba menjadi sangat panas, Si Alui yang berada di bawah pokok yang dikelilingi oleh longgokan api yang semarak pun berasa panas lalu dia menjerit-jerit memberitahu ibunya yang dia kepanasan. 

Mak Alui : Ooi Pak Alui, pergilah alihkan anak kita si Alui. Dia kepanasan tu. Jauhkan dia dari api.

Lalu pak Alui pun pergilah membuat apa yang dikatakan oleh isterinya. Tidak lama kemudian dia pun kembali. Tidak lama kemudian kedengaran si Alui memjerit-jerit.

Mak Alui : OOii pak Alui. Kenapa anak kita masih menjerit-jerit tu. Awak sudah jauhkan dia dari api kah?

Pak Alui : Sudahlah. Dia menjerit-jerit tu sebab terlampau gembira tengok api dari jauh. Tinggi saya letakkan dia jauh dari api.

Selepas itu masih lagi si Alui menjerit-jerit tetapi tidak dihiraukan kerana dia sudah dihantar jauh dari api mengikut kata pak Alui. 

Apabila kayu-kayu sudah habis dimakan api, api mulai reda dan kerja membersih huma hampir selesai. Perut pun sudah berkeroncong minta diisi. Lalu suami isteri itu pun bercadang hendak berhenti makan tengah hari.

Mak Alui : Pak Alui, mana anak kita? jom mari kita berhenti makan.

Pak Alui pun berjalan di depan menunjuk arah dimana Alui berada. Dari jauh mak Alui melihat anaknya berada di atas pokok tetapi kenapa tidak bergerak serta hitam legam. Giginya menyerigai. 

Mak Alui : Paknya kenapa anak kita menyerigai giginya? hitam lagi tu

Pak Alui : Oh sebab dia sedang tersenyum tengok kita datang tu. Kulitnya hitam sebab terkena panas.

Mereka berjalan semakin hampir dan apabila tiba barulah mak Alui tahu bahawa anaknya telah hangus terbakar. Begitulah cerita bagaimana anaknya mati kerana kebodohan amang Alui.